Sejarah Kampung Melayu Tebakang.
Kewujudan Kampung Melayu Tebakang berlaku pada awal kurun ke-18. Kampung Melayu Tebakang telah dibuka dan diteroka oleh seorang pedagang dan juga ulama yang bernama Haji Laer. Beliau berasal dari Kampung Bintangor, Kuching. Generasi beliau sekarang adalah generasi ke-8. Nama Kampung Tebakang diambil daripada sebatang anak sungai yang terletak di hilir kampung iaitu Sungai Tebakang.
Dari sebuah perkampungan kecil,Kampung Tebakang Melayu telah berkembang dari tahun ke tahun. Semasa berlakunya perperangan antara Belanda dan Indonesia, sebilangan penduduk Melayu Sambas telah berhijrah ke Kampung Melayu Tebakang. Pada masa yang sama, berlakunya perdagangan antara kedua-dua Negara melalui sungai sebelum Perang Dunia ke-2.
Semasa Sarawak di bawah jajahan dan pemerintahan Rajag Brooke, pihak Brooke telah melantik seorang wakil dari Kampung Tebakang untuk menjaga kawasan Ulu Sadong yang digelar sebagai 'Native Officer' (N.O) pada awal tahun 1920-an. Beliau ialah Haji Abg. Samsudin bin Abg. Mattusin. Perlantikan beliau sebagai N.O juga turut menarik kedatangan penduduk Melayu dari Hilir Sadong seperti Gedong, Simunjan dan kawasan lain seperti Kuching.
Ketika itu,pejabat pentadbiran digelar sebagai Pejabat Daerah Kecil Tebakang. Pihak Rajah Brooke telah melantik beliau sebagai Wakil Rakyat Ulu Sadong pada awal tahun 1940-an. Perlantikan ini atas jasa beliau kepada pentadbiran Rajah Brooke.
Ketika beliau menjadi Wakil Rakyat, tapak masjid yang terletak di atas bukit bersebelahan tanah wakaf kampung telah dipindahkan ke tapak yang ada sekarang. Terdapat juga sekolah yang dahulunya digelar sebagai 'Sekolah Atap' yang didirikan di kampung ketika itu sebelum adanya Combined School yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tebakang ( SK Tebakang)